Aspek-aspek penting dalam lukisan


Sebelum kita mempelajari lebih lanjut cara melukis lukisan pensil dan lukisan warna atau lukisan-lukisan lain, adalah berfaedah kita memahami secara mudah beberapa aspek penting dalarn lukisan, iaitu subjek, gubahan, bentuk, perspektif, nilai dan warna.

SUBJEK

Subjek ialah semua objek yang kita lihat di sekeliling kita seperti pokok, awan, batu-batan, gunung, bangunan, air, manusia, kenderaan, binatang dan lain-lain. Seorang pelukis tidak melukis semua subjek yang dilihatnya, tetapi ia hanya memilih satu atau beberapa objek yang hendak dimasukkan ke dalam karya Iukisannya. Tajuk lukisan umumnya mempengaruhi pemilihan objek-objek yang hendak dimasukkan ke dalam sesebuah lukisan itu.

GUBAHAN

Secara ringkas, gubahan ialah memilih, merancang dan menyusun objek-objek yang hendak dilukis dalam sebuah karya lukisan. Pelukis yang memilih satu pemandangan lanskap yang mengandungi objek awan, sungai, gunung-ganang, pokok-pokok dan padang rumput, misalnya, tidak akan dapat melukis semua objek ini dengan jelas dan detail, sebaliknya ia akan menentukan objek pilihannya yang dipanggil objek utama. Objek utama inilah yang menjadi titik perhatian kepada pelukis itu dan juga kepada orang yang melihat dan menilai lukisan tersebut. Objek utama ini akan dilukis secara lebih besar, jelas, menarik dan detail (teliti), sementara objek-objek lain yang dimasukkan kedalam lukisan ini boleh dianggap sebagai objek kecil atau objek sampingan yang digubah untuk menyerikan dan mengimbangi lukisan tersebut.

BENTUK

Semua objek di keliling kita mempunyai bentuk tersendiri. Manusia, binatang, rumah, pokok, gunung dan lain-lain objek yang dapat kita lihat semuanya mempunyai bentuk tertentu. Secara umum sebahagian besar bentuk objek-objek ini adalah berdasarkan kepada tiga bentuk asas (geometri), iaitu;

Bentuk kiub - seperti kotak, rumah, almari, lori, kereta dan lain-lain.
Bentuk bulat - seperti bola, buah-buahan dan kepala manusia.
Bentuk silinder - seperti batang pokok, botol, badan manusia dan lain-lain.

Bentuk ini berkait rapat dengan sudut pandangan (dan arah mana kita pandang sesuatu objek itu) dan kedudukannya pada arah sinar cahaya. Dengan ini kesannya pada satu-satu objek yang dilukis akan menampakkan bentuk dan ton gelap atau ton cerah yang berbeza-beza.

PERSPEKTIF

Perspektif berkait rapat dengan bentuk objek yang dilukis pada kertas lukisan. Secara umum objek yang
terdekat dilukis lebih besar daripada objek yang lebih jauh. Ini bermakna satu objek yang sama, apabila dilukis, akan kelihatan semakin kecil apabila ia semakin jauh, dan akhirnya akan hilang dan lesap pada satu
titik. Titik ini dikenali sebagai titik lesap [vanishing point].

Titik lesap ini terletak pada satu garisan tertentu. Garisan ini tidak wujud sebagai satu garisan tetapi merupakan khayalan [imaginary] pelukis sahaja. Garisan ini dikenali sebagai paras mata [eye level].

Perhatikan Gambarajah 2.1. Gambarajah ini mungkin dapat membantu kita memahami lebih lanjut tentang perspektif, titik lesap dan paras mata.

Gambarajah 2.1

Gambarajah 2.1 dan berikutnya Gambarajah 2.2 menunjukkan lukisan perspektif satu titik lesap. Oleh kerana titik lesap terletak di tengah lukisan, maka ia dikenali sebagai perspektif satu titik di tengah.

Gambarajah 2.2
Gambarajah 2.3
 Titik lesap ini tidak semestinya berada di tengah sahaja. Ia boleh berada di kiri dan di kanan garisan paras
mata. Gambarajah 2.3 menunjukkan titik lesap di kiri. Ini dikenali sebagai perspektif satu titik di kiri.


Gambarajah 2.4
  Gambarajah 2.4 pula menunjukkan titik lesap di kanan. Ini dipanggil perspektif satu titik di kanan.

Gambarajah 2.5
Ada satu lagi jenis perspektif dalam lukisan. perspektif ini berbeza daripada perspektif satu titik seperti yang ditunjukkan dalam contoh-contoh tadi. Perhatikan gambarajah 2.5. Ia menunjukkan lukisan sebuah bangunan yang menuju kepada 2 titik lesap (satu di kiri dan satu di kanan pada garisan paras mata ). Ini dikenali sebagai perspektif 2 titik.

NILAI

Nilai (value) merupakan perbezaan antara ton cerah, ton sederhana dan ton gelap yang terdapat dalam sesebuah lukisan yang baik. Gambarajah 2.6 dapat menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan nilai.

Biasanya objek yang dekat dilukis dalam ton yang lebih gelap dan jelas. Berbanding dengan objek yang lebih jauh yang mempunyai ton lebih cerah atau kelihatan kabur dan pudar.

Begitu juga dalam lukisan warna, nilai ini diwakili oleh ton dan nilai warna yang berlainan. Kita akan melihat lebih lanjut mengenainya apabila kita mempelajari lukisan berwarna warni.

Gambarajah 2.6

 Peringatan


Jika anda masih belum jelas dengan apa yang diterangkan dalam bab ini, anda tidak perlu bimbang. Bab ini tidak bermaksud untuk mengajar anda aspek-aspek ini secara terperinci. Walaupun jika anda cukup faham dan fasih tentang apa yang dikatakan dalam bab ini, ia tidaklah menjamin anda akan menjadi pelukis yang baik.

Memadailah sekiranya anda mengetahui bahawa dalam lukisan ada beberapa aspek yang perlu diberi perhatian. Aspek-aspek ini akan dapat anda fahami dengan lebih mudah jika anda membaca bab-bab yang berikutnya.

16 Comments

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.